RSS

Berusahalah. Jangan berputus asa.

21 Aug

Dia berseorangan di satu sudut. Menyendiri. Bermenung jauh. Merenung dinding yang kosong. Pandangannya tembus ke ruang yang hanya dia dan Allah sahaja mengetahui.

Mengimbau masa silam. Terkenangkan peristiwa yang dilalui sepanjang kehidupan. Terkenangkan dosa-dosa. Ahhhhhh.. terlalu banyak. Tak terhitungkan. Banyak kali dia derhaka. Derhaka kepada Penciptanya. Pencipta yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Dia sedar, terlalu banyak dosa, khilaf dan kesilapan yang dilakikan. Dan dia juga sedar, walaupun pendosa sepertinya, masih lagi Tuhannya sudi memandangnya. Masih lagi Tuhannya sudi untuk memberi nikmat kehidupan yang tidak mungkin mampu dihitung. Namun masih, dia tetap tegar menderhaka kepada Tuhannya.

Ahhhhhhhh…. dia penat. Mengeluh. Bukan tidak pernah dia berusaha untuk berhenti membuat dosa. Sekurang-kurangnya dia pernah cuba untuk solat di awal waktu walaupun tidaklah istiqamah. Sekurang-kurangnya dia tetap solat walaupun fikirannya merayau entah ke planet Nameck mana ketika solat. Sekurang-kurangnya dia cuba untuk membuat kebajikan dan menjaga hati kedua ibu bapanya walaupun kebanyakan masa dia tidak menghiraukan permintaan mereka. Sekurang-kurangnya dia berhubungan dengan tetangga dan kawan-kawannya walaupun kadangkala dia mengumpat mereka di belakang. Sekurang-kurangnya dia membalut aurat walaupun di sana sini terdedah auratnya. Sekurang-kurangnya dia cuba untuk berubah walaupun separuh hati.

Ahhhhhhhh… dia mengeluh. Dengusan nafasnya keras. Sampai bila mahu begini? Sampai bila mahu hidup bergelumang dosa? Hari tu nyaris-nyaris dia berzina. “Ahhh.. zina mata dan hati pun dikira zina juga! Mana ada manusia yang tidak lepas dari membuat dosa. Rileks laaaaaa”, hatinya berbisik.

Namun, sampai bila? Sampai bila dia mahu terus melakukan perkara-perkara yang terang-terang bertentangan dengan fitrah hatinya yang mahu berhenti dari melakukan dosa dan maksiat terhadap Tuhannya. Dia bukan tidak tahu antara yang haq dan yang batil! Dia bukan tidak tahu minum arak itu ibu kepada segala jenis dosa dan maksiat. Dia bukan tidak tahu rasuah itu haram. Dan dia bukan tidak tahu pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan itu haram. Dia bukan tidak tahu riba itu bakal menyusahkan hidupnya bukan sahaja di dunia, bahkan di sana lebih-lebih lagi. Bukan dia tidak tahu dan mengerti semua itu. Heyyyy… dia belajar laaa semua itu di alam persekolahannya dulu.

Benarlah! Sekali terjebak, sekali tersilap langkah, sekali tersalah masuk simpang, bukan senang nak buat u-turn di lebuhraya kehidupan. Alah bisa tegal biasa. Dosa dan maksiat tu umpama duri dalam daging. Walaupun menyakitkan dan merosakkan diri, ia tetap sukar untuk dihindarkan. Dah terbiasa bertuhankan nafsu, masakan senang untuk berpaling darinya. Dah terbiasa meneguk nikmat dunia yang menipu, masakan mudah bermujahadah untuk mengejar akhirat.

Kepenatan. Lelah. “Tuhan~ tidak mungkinkah ku temui jalan pulang kepada-Mu? Puas sudah kaki ku melangkah dalam debu-debu dosa dan kezaliman yang menyesakkan. Aku mahu kembali kepada-Mu~ Tuhan~ tolonglah~~~”, dia merintih. Telah dicuba berkali-kali untuk keluar dari perangkap masa silam. Keluar dari igauan dosa yang menghantui. Gagal! Baginya istiqamah itu sangat sukar. Mustahil untuk dia bebas dari belenggu kehidupan silam.

Buntu. Terasa masa depannya kelam.

Siapakah dia?

Dia itu adalah kita manusia yang tidak pernah lepas dari melakukan dosa.

###################

Benarlah. Hidayah itu milik Allah. Dia berhak menganugerahkan hidayah itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, usaha untuk menggapai syurga-Nya bukanlah mudah. Akan ada ujian di sepanjang perjalanannya. Bagi menyaring antara mereka yang benar-benar ikhlas mentaati Allah dan mereka yang menjadi hamba dunia.

Pekerjaan mengejar akhirat dengan meninggalkan nikmat dunia yang berlebih-lebihan bukanlah mudah. Hanya orang yang kenal diri dan sedar akan hakikat hidupnya hanyalah untuk Allah sahaja tegar berusaha untuk keluar dari dunia yang penuh ilusi dan fantasi yang memenatkan. Ambillah nikmat dunia sekadarnya. Gunakan ia sebagai bekal untuk ke akhirat. Namun ramai yang terpesona dengan penipuan dunia yang dilihat begitu indah. Memburu fatamorgana dunia tidakkan pernah ada kesudahannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang sedar diri.

Fitrah manusia yang lalai, alpa dan berdosa. Namun pintu taubat sentiasa terbuka selagi matahari tidak terbit dari barat. Jalan kembali kepada-Nya terbentang luas. Bertabahlah wahai hamba yang berdosa. Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk kembali kepada-Nya. Walaupun seringkali amukan nafsu yang membuat onar menguasai diri. Namun janganlah pernah berputus asa. Tuhan melihat usahamu. Teruskan berusaha. Jangan pernah berputus asa. Pasti suatu hari nanti kamu akan berjaya. Insya Allah. Asalkan hatimu benar-benar ikhlas untuk mencari redha-Nya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: