RSS

Daripada Dia Kita Datang dan Kepada-Nya Kita Kembali

05 Mar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ada saatnya jiwa terasa lemah. Hati tidak keruan. Jiwa meronta-ronta. Seolah-olah kehilangan arah. Ahh.. sukar untuk digambarkan perasaan itu. Seumpama ibu kucing yang kehilangan anaknya. Seumpama seorang pencinta kehilangan yang dicintainya. Ya. Seumpama seorang pencinta kehilangan yang dicintainya. Itulah perumpamaan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan itu. Terasa seperti ingin membebaskan diri dari belenggu rantai lutsinar. Berhalusinasi mungkin? Ahh.. tidak! Perasaan sebegitu bukanlah halusinasi. Ia benar. Bukan fatamorgana dunia semata-mata.

Ada saatnya dalam hidup kita, kita akan berhenti atau memperlahankan kemudi perjalanan kehidupan, lalu bertanya kepada diri sendiri; 

Apakah tujuan aku dilahirkan ke dunia ini?

Apa yang telah aku capai sepanjang kehidupan aku ini?

Apakah setiap amal atau pekerjaan yang aku lakukan selama ini Allah redhai?

Tidak dinafikan, kehidupan manusia diwarnai dengan pelbagai halangan dan rintangan. Penuh suka dan duka. Pelbagai ujian kesenangan dan ujian musibah diturunkan Allah kepada kita. Agar kita dapat belajar sesuatu dari kesemua itu. Agar kita dapat mengambil ibrah dari setiap perhentian atau persimpangan dalam kehidupan kita itu. Baik atau buruknya ujian kesenangan dan ujian musibah itu, terpulang kepada kaca mata kita untuk mengamati dan menelahnya. Namun, satu hakikat yang perlu kita akui, setiap ujian yang diturunkan Allah kepada kita SEMUANYA UNTUK KEBAIKAN KITA. Samaada kita mahu sedar ataupun tidak, samaada kita mahu menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk kita melonjak lebih jauh ke hadapan, atau mahu berundur ke belakang meratap kekecewaan atau musnah dalam setiap ujian itu.

Lemah iman itu menyakitkan. Tanpa disedari ia membunuh ketenangan jiwa dan jati diri. Mohonlah kepada Allah agar diberi kekuatan untuk memperkukuhkan keimanan kepada-Nya. Manusia tidak akan pernah mampu mempertahankan & memperkukuhkan iman tanpa izin & bantuan-Nya. Kerana manusia itu sendiri asalnya lemah.

Allah.. kita semua pasti pernah merasai saat iman kita lemah. (Dan hakikatnya iman kita sentiasa lemah!) Bukan kita tidak tahu perkara yang kita lakukan itu adalah salah dan berdosa. Tapi, iman kita tidak cukup kuat untuk menjadi benteng diri daripada terus menerus melanggar larangannya.

Akan tiba satu ketika, jiwa gusar. Hati tidak tenang. Seumpama penasaran. Sedar, pintu hati diketuk Dia supaya mendekati-Nya. Tapi kita yang meminggir. Seakan-akan menafikan keinginan untuk menghampiri-Nya. Teringin untuk menatap ‘surat-surat CINTA-NYA’. Tapi iman itu cukup lemah. Teringin sekali untuk menyendiri, menyepi di hamparan sejadah pada sepertiga malam. Meluahkan rasa hati kepada-Nya. Mencurahkan segala kepenatan akibat permainan dunia yang penuh fatamorgana ini. Namun, iman itu masih lemah. Tidak mampu untuk membuatkan ruh dan jasad secara sukarela menghadap-Nya. Terasa terbeban.

476394_398356816869688_802803796_o

Dan akhirnya, percayalah. Andainya kita menyahut seruan dan panggilan Dia untuk menghampiri-Nya, andai kita sambut CINTA-NYA yang agung itu, kebahagiaan yang hakiki akan kita temui. Tenang. Tiada lagi pergolakan atau ribut taufan mahupun tsunami mengamuk di dalam jiwa. Insya Allah. Pernah merasainya? Bahagia bukan? Tenang. Seolah-olah ribut taufan yang mengganggu jiwa itu tidak pernah wujud. Janganlah kita mensia-siakan panggilan kasih dan rahmat-Nya kepada kita. Bersyukurlah. Apabila Dia menyeru kita untuk menghampiri-Nya, janganlah lagi meminggir. Dekatilah Dia. Bukanlah zuhud itu dengan beribadah kepada-Nya semata-mata sehingga meninggalkan segala isi dunia. Tetapi zuhud itu ialah mengambil nikmat dunia sekadar keperluan dan dimanfaatkan untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Andai tidak pernah merasai nikmat CINTA AGUNG itu, mohonlah kepada-Nya agar kita diberi peluang untuk merasainya. Mohonlah kepada-Nya. Kerana CINTA DIA lebih berharga dari seluruh isi dunia.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail, “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah ia.” Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail menyeru penduduk langit, “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah ia.” Maka penduduk langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia.”
(Riwayat Al Bukhari No 3037)
Andai cinta Allah kita perolehi, seluruh isi alam akan turut mencintai kita. Bukanlah cinta isi alam itu tujuan dan matlamat kita. Kerana apabila kita merasai nikmatnya cinta Allah, isi alam itu hanyalah secebis daripada kehidupan kita sahaja. Kerana hakikat penciptaan manusia, “daripada Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali”.
Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan redha-Nya. Insya Allah.
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: