RSS

“Aku Kecewa Kerana Cinta, Sahabat (2)”

26 Jan

Sequel kepada “Aku Kecewa Kerana Cinta, Sahabat.. ;(“

Sahabat, izinkan ku titipkan sebuah hadiah buatmu pengubat duka lara di hatimu. Izinkan aku menukilkan secebis kisah duka yang kau khabarkan kepadaku buat pengajaran kita semua.

Sahabat,

Pasti pernah terlintas dalam fikiranmu akan mengapa dirimu masih diuji dengan ujian yang hampir sama. Kecewa kerana cinta. Cinta yang kau sandarkan kepada Ilahi kali ini seolah-olah ujian yang paling getir dalam hidupmu. Seolah-olah kebahagiaan itu bukan untukmu. Allah.. apa pun ujian kehidupan yang Dia beri untukmu, percayalah sahabat, baik atau buruknya ujian tersebut pasti tersisip pengajaran dan hikmah untuk kau telahi. Untuk kau amati. Andainya kau mengerti, jika tidak kerana CINTA-NYA kepadamu, tidak akan Dia uji kau sebegini hebat.

Sahabat, ku tahu kau sendiri mengerti. Mengerti akan ibrah dan hikmah di sebalik ujian cinta yang sedang kau hadapi kali ini. Seakan-akan dunia berpusing terlalu laju meninggalkanmu. Seolah-olah dirimu berada di satu dimensi yang kaku. Tidak mampu bergerak. Akibat terlalu hebatnya kepedihan perasaan itu. Benarlah sahabat, orang yang tidak mengalami situasi kesakitan itu tidak kan pernah faham pedihnya hati yang kecewa dan merana diusik cinta manusia. Sungguh, cinta itu gila. Cinta itu mampu membuatkan manusia menjadi gila. Jika tidak masakan timbul cerita cinta Romeo & Juliet, Laila & Qais. Sanggup mati demi cinta. Tetapi sahabat, jadikanlah cerita cintamu kali ini cerita cinta yang termanis pernah engkau lalui. Walaupun kepahitan, kepedihan dan kesengsaraan yang kau hadapi di sepanjang perjalanan, namun pandanglah ia dari sisi yang berbeza. Pandanglah ia dari sudut yang positif. Ku tahu kau seakan terasa deja vu. Serasa seolah-olah pernah melihat situasi tersebut. Amatilah ia sedalamnya. Janganlah kau ulangi lagi kekhilafan yang lepas untuk kesekian kalinya. Kerana mukmin yang sebenar ialah mukmin yang tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua. Jadikanlah ia pengajaran.

Sahabat, mesti kau tahu bukan cerita cinta yang sungguh manis itu? Siapa ya seorang artis selebriti yang tidak kurang popular di tanah air, bertemu jodohnya ketika mengerjakan umrah itu? Ya.. Irma Hasmie dan suaminya bukan? Jodoh yang dianugerahkan Allah selepas siri penghijrahan beliau dalam mendalami “Apa Ertinya Aku Menganut Islam”. Jodoh yang telah ditetapkan Allah sejak azali lagi tidak akan tertukar. Tidak pernah akan tertukar. Usah bimbang. Usah resah. Usah gelisah dengan ujian. Dia sentiasa ada untukmu. Ibrah cerita cinta Irma dan suaminya adalah secebis kisah cinta yang Dia coretkan di antara berjuta-juta cerita cinta hamba-hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan kasih dan redha-Nya untuk kita renungi. Andai kau sandarkan segala-galanya kerana Allah, percayalah walau hebat mana ujian melanda, walau terpisah 7 benua, kamu tetap akan bersatu dengannya juga. Percayalah. Jodoh daripada Allah adalah sebaik-baik ketentuan. Dia ada seribu satu cara untuk menyatukan kamu dengannya. Namun, andai memang dia bukan jodohmu, Dia tetap ada seribu satu cara untuk menemukanmu dengan insan yang terbaik untukmu. Percayalah janji Allah itu.

Sahabat, ingin ku anjurkan kepadamu juga kepada diriku sendiri. Carilah cinta kerana Allah. Carilah cinta Allah terlebih dahulu. Nescaya cinta hamba-Nya yang mencintai-Nya akan hadir untukmu. Andai kau berjaya memilikinya, engkaulah di antara insan yang paling bertuah di bumi Allah ini. Cinta kerana Allah itu bakal mengajar mu erti sebuah kehidupan yang hakiki. Bersama untuk mencari redha Ilahi. Malah ia bakal menjadikan dirimu seorang mukmin yang lebih hebat. Insya Allah, hebat di sisi Allah, hebat pada pandangan manusia. Namun, bukanlah kehebatan itu yang dipandang lantaran sedar akan kekerdilan diri kita sebagai hamba-Nya yang hina.

Kau tanyakan kepadaku; “sahabat, cinta kerana Allah itu bagaimana ya? Aku sudah tidak faham lagi apa itu cinta yang sebenar..”

Bagiku, “cinta kerana Allah itu ialah apabila bersamanya kita berasa tenang, apabila bersamanya kita tidak jemu, dan dia seolah-olah separuh dari diri kita. Kehilangannya mungkin dirasai. Namun tidak pula mengundang keresahan yang ketara. Kerana kau tahu, telah kau sandarkan segala ketentuan dan pengharapan kepada Allah. Bukankah Allah itu Maha Penjaga dan Maha Memelihara? Kau sendiri pun yakin bukan? Alangkah indahnya cinta kerana Allah. Bertemu tidak jemu. Berpisah tidak pula gelisah. Kerana kita tahu, cinta kerana Allah itu sangat manis walaupun tidak bersama. Mungkin pada permukaannya ia teramat pahit tapi percayalah, isi di dalamnya terlalu manis hingga tidak terungkapkan. Kau sendiri pun sedar bukan? Pandanglah ke lubuk hati. Terlalu banyak yang kau pelajari dari sebuah cerita cinta yang tidak pasti ini. Yakinlah dengan istikharahmu, di mana telah kau sandarkan keputusanmu di dalam ketentuan-Nya. Berbaik sangkalah dengan Allah. Sesungguhnya ujian ini diturunkan kepadamu adalah yang terbaik untuk agama dan kehidupanmu keseluruhannya. Insya Allah.

Pernah sahabat ku bercerita, apabila kita beristikharah dalam membuat sesuatu keputusan dan kita yakin dengan pilihan kita tersebut, andainya musibah berlaku dalam perjalanan merealisasikan sebuah keputusan, percayalah ada hikmah yang tersirat di sebalik istikharah kita itu. Dan percayalah bahawa secara automatik kita akan redha dengan segala yang terjadi. Kerana perjalanan hidup kita telah ditulis oleh-Nya di Luh Mahfuz sebelum ruh kita ditiupkan ke dalam jasad lagi.

Sahabat, ku tahu kau sendiri mengerti. Persoalan jodoh merupakan urusan Allah. Ia bukan urusan manusia. Bukan urusan sesiapa pun. Namun kita diberi akal, diberi naluri (instinct) untuk mengenalpasti siapakah soul partner kita tersebut. Kita diberi mata untuk melihat, diberi telinga untuk mendengar, malah diberi hati untuk merasa. Pandanglah semua yang terjadi dengan pandangan Ilahi. Bagaimanakah caranya memandang dengan pandangan Ilahi itu? Pada hematku, berdoalah kepada-Nya.. mintalah kepada-Nya agar segala keputusan yang dilakukan adalah keputusan daripada-Nya juga. Mintalah kepada-Nya agar ditunjukkan hakikat sebenar ujian yang dihadapi. Mintalah agar kefahaman dan ibrah yang diperolehi daripada ujian itu adalah kefahaman sebenar yang Tuhan berikan kepada kita. Mintalah kepada-Nya agar mata hati kita tidak tersilap mentafsir apa yang ingin Dia bicarakan. Mintalah kepada-Nya. Insya Allah akan dia tunaikan. Mintalah terus kepada-Nya tanpa segan silu. Insya Allah akan Dia tunjukkan. Kerana Allah itu Maha Memahami hati-hati kita. Kerana Dialah yang menciptakan kita. Dialah yang memegang erat hati-hati kita. Mintalah kepada-Nya agar segala keputusan yang bakal kita buat itu adalah sememangnya keputusan yang telah Dia catatkan untuk kita. Insya Allah, baik atau buruknya sesebuah keputusan itu akan kita cerna hikmahnya. Dan keputusan itulah yang terbaik untuk diri kita.

Sahabat,

Melalui ujian ini Dia mengajar mu erti kematangan. Kematangan dalam memilih jalan untuk diri sendiri. Kematangan untuk membuat keputusan untuk diri sendiri. Yang penting ia mengajarmu agar kamu kenali siapa diri kamu yang sebenar. Kenal akan hakikat diri, betapa kerdilnya diri ini. Allah.. Sebuah perjalanan kehidupan cinta itu bukan sekadar untuk bersama di dunia semata-mata. Ia bukan persoalan cinta, hati dan perasaan semata-mata. Hakikat sebuah cinta adalah menjangkaui batasan penglihatan mata kasar. Cinta yang diniatkan untuk bernikah dalam mencari redha Allah itu adalah usaha untuk beribadah! Andai bersama di dunia, sudah pasti ingin bersama di akhirat. Sudah tentu tiada siapa yang mahu cinta yang sekadar bersama di dunia tetapi tidak bersama di akhirat. Namun andai itu yang berlaku, koreksi diri. Di manakah kesilapan kita. Pasti kita temui pengajarannya andainya tembok ego itu diruntuhkan. Pandanglah dengan mata hati bukan dengan mata nafsu.

Sahabat,

Percayalah, akan ada akhirnya sebuah cerita cinta derita ini. Derita pada pandangan mata kasar tapi bahagia pada pandangan mata hati. Bahagia dan manis kerana cinta Allah itu akhirnya kau temui. Dan ia merupakan hadiah yang paling berharga daripada Tuhan untuk hamba yang merindui CINTA-NYA.

*Ku menulis untuk tatapanmu ini juga adalah dengan izin-Nya. Andainya tidak diizinkan Allah, masakan aku mampu untuk mencoretkan walau sepatah kata. Kau sendiri tahu betapa aku tidak mampu untuk menterjemahkan idea yang bermain di benak fikiran dalam bentuk tulisan. Berkali-kali ku cuba menulis tetapi gagal. Namun kali ini, Alhamdulillah.. seakan-akan Dia mengizinkan aku menitipkan sesuatu untuk tatapan dan pengajaran kita semua.

CINTA ALLAH ITU LEBIH UTAMA~ CINTA MANUSIA HANYALAH SANDARAN/MEDIUM UNTUK MENGGAPAI CINTA DAN REDHA ILAHI~

Semoga bermanfaat.

 

One response to ““Aku Kecewa Kerana Cinta, Sahabat (2)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: