RSS

Orang Kita Bercerai Setiap 15 Minit

20 May

Abd. Jalil Ali
abd.jalil@karangkraf.com.my
Majalah i Bil 103 Mei 2011
m/s 98

INI memang satu angka yang tidak sedap didengar. Bahawa dalam setiap 15 minit akan terjadi satu perceraian di kalangan beragama Islam. Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, baru-baru ini.

Beliau memetik statistik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tahun 2009. Sekiranya statistik itu betul, ada empat pasangan suami-isteri Islam bercerai setiap jam, atau 96 perceraian dalam tempoh 24 jam.

Ertinya setiap bulan ada 2,880 pasangan Islam bercerai, kali dengan 12 bulan angka perceraian keluarga Islam pada tahun 2009 memang mengejutkan – 33,600 pasangan bercerai – sekali gus memalukan.

Walaupun tidak dinyatakan berapa pasangan yang berkahwin sepanjang tahun tersebut, jumlah perceraian melebihi angka 30,000 sebenarnya membimbangkan. Sekiranya trend ini berterusan apa akan terjadi pada institusi keluarga Islam dalam beberapa tahun akan datang?

Perceraian, tidak kira apa puncanya, adalah jalan mudah untuk pasangan lari dari masalah suami-isteri. Kesan perceraian tersebut lebih dideritai oleh anak-anak. Sekiranya anak-anak sedang membesar, mereka kehilangan tempat mencurah kasih.

Lebih teruk lagi sekiranya perceraian tersebut menyebabkan pertelingkahan di mahkamah antara ibu dan ayah untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Selalu kita mendengar dan membaca bekas suami-isteri turun-naik mahkamah untuk tempoh yang panjang, bertahun-tahun.

Mereka bercerai dan berebut anak di mahkamah, sedangkan yang sebenarnya terdera emosi ialah anak-anak itu sendiri. Sekiranya anak-anak terbabit sudah bersekolah, berita yang disiarkan media mengenai tuntutan di mahkamah itu tentu mengganggu perasaan.

Apa yang dialami semasa kanak-kanak akan mempengaruhi kehidupan bila mereka besar. Timbul rasa rendah diri, kecewa, rasa terasing, jiwa memberontak. Semua ini akan dengan sendirinya mendorong mereka untuk bertindak negatif. Fobia zaman anak-anak itu akan menjadi kenangan pahit sepanjang hidup.

Sebab itu kalau boleh elakkan perceraian demi anak-anak. Statistik JAKIM itu jangan ditingkatkan lagi. Ibu bapa adalah pencorak generasi masa hadapan. Sekiranya rumah tangga goyah, kita dapat bayangkan apakah bentuk generasi Islam akan datang – porak peranda!

Banyak faktor menyumbang kepada keretakan rumah tangga. Dr Mashitah menyimpulkan: “Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.”

Kata-kata timbalan menteri yang juga bekas pensyarah dan bekas pakar motivasi itu mudah difahami. Solat sebagai tiang agama akan memperkukuh institusi keluarga. Apabila suami-isteri dapat berperanan dengan baik pasti perkahwinan akan kekal mantap.

Masalahnya ialah orang kita semakin tidak suka sembahyang, walaupun menyedari itu adalah salah satu rukun Islam. Mengikut satu kajian yang tidak rasmi kadar umat Islam di negara ini yang menunaikan sembahyang lima waktu hanyalah sekitar 20 peratus.

Kalau pun kajian tersebut tidak rasmi, kita boleh melihat keliling kita untuk membuktikan kebenaran angka yang bersembahyang. Berapa ramai kawan-kawan sepejabat kita yang berkunjung ke surau atau musalla di tempat kerja setiap kali masuk waktu solat? Berapa ramai jemaah Islam di kawasan perumahan kita ke masjid atau surau setiap kali azan?

Atau, secara jujur tanyakan kita sendiri: berapa kerap kita sembahyang setiap hari? apakah kita berjaya memujuk atau memaksa anak-anak kita bersembahyang? Kalau kita sendiri liat untuk melakukan solat, bagaimana kita hendak memaksa tanggungan kita melakukannya?

Orang kita lebih gemar mendirikan dan mencantikkan masjid atau surau. Pantang ada kawasan perumahan baru, perkara pertama yang diminta ialah masjid atau surau. Mesti berkarpet tebal, berlampu warna-warni, berhawa dingin. Mesti ada pembesar suara yang gemanya boleh memecah kesunyian seluruh kawasan.

Kita bangga masjid dan surau kita cantik. Tetapi kita gagal mengimarahkan rumah ibadat itu. Walaupun karpetnya tebal, lampunya bergemerlapan dan keadaannya sentiasa nyaman, bilangan jemaah setiap waktu sedikit sekali. Sedih, masjid tersergam tetapi jemaah yang bersembahyang tidak penuh satu saf.

Memang, ada seribu satu macam godaan yang boleh mendorong pasangan bercerai. Terkini laman-laman sosial seperti ‘facebook’ dan ‘twitter’ dikatakan menjadi punca orang berasmara di alam maya, dan akhirnya bercerai suami-isteri.

Tetapi punca utama kemelut yang meruntuhkan rumah tangga ialah apabila orang sudah mula liat untuk mengamalkan rukun-rukun Islam, terutama sembahyang lima waktu yang menjadi tiang segalanya. Sebab itu bersembahyanglah tanpa sebarang dalih, mudah-mudahan kita akan selamat sejahtera.

Yaaaaaaaaaa………. sudah lama tak update blog ni.. tiba-tiba muncul dengan isu yang sangat berat.. PERCERAIAN!

Sangat setuju dengan artikel kat atas yang disalin perkataan demi perkataan daripada Majalah i edisi Mei 2011. Memang tidak dapat disangkal lagi, kadar perceraian kat Malaysia ni semakin meningkat berdasarkan statistik yang diberikan oleh JAKIM. Membimbangkan! Merisaukan! Ye laa.. siapa yang mahu berkahwin lepas tu bercerai kan? TAKDE pun~ pernah tak terlintas di kalangan sahabat-sahabat yang dah berkahwin, di hari akad nikah dulu; “aku kahwin sekarang, nanti bila tengok tak serasi ke, cam tak best ke, tak boleh go on ke, aku bercerai laa.. takpe…” adehhh… mesti laa takde kan? Ada ke?

Tapi, point utama kat sini tentang punca utama perceraian adalah solat. Tidak menjaga solat. Yesss… ada je pasangan yang solat tapi bercerai jugak.. itu dinamakan ujian. Pernah baca daripada blog/artikel seorang Ustaz yang saya dah lupa siapa, perkahwinan itu dibina atas dasar taqwa.. bukan cinta dan tanggungjawab semata-mata.

Cinta.. sesungguhnya hati manusia mudah untuk berubah, bak kata pepatah; “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Adakah ada jaminan dalam lubuk hati kita yang perasaan cinta kita terhadap pasangan kita yang sah itu takkan berubah sepanjang hayat? Mungkin setahun, lima tahun, sepuluh tahun, boleh la kan.. tapi, manusia adalah makhluk yang penuh dengan perasaan. Usahlah menipu diri sendiri, analoginya kita memilih pakaian di kedai. Kita telah membeli dan pakai baju kita tu selama 2 tahun, sah-sah lah kita mahu beli baju baru pulak kan~~ ehhhh… kahwin bukan macam beli baju.. mana boleh bandingkan membina rumah dan tangga macam beli baju.. boleh.. sebab, manusia berubah berdasarkan citarasa, minat, cara berfikir dan perasaan yang berubah-ubah. Sifat dan sikap manusia tidak akan pernah statik dalam jangka masa lama. Hanya orang-orang yang mempunyai personaliti emas dan konservatif sahaja yang agak sukar berubah. Tapi mereka akan berubah juga mengikut peredaran masa dan keadaan.

Tanggungjawab.. sejauhmanakah kita mampu untuk bertanggungjawab apabila kehilangan cinta? Ataupun begini, “takpe lah tiada cinta di hati aku masih bertanggungjawab terhadap pasangan aku.” Tapi, adakah kita redha dalam menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab tersebut? Jawablah sendiri.. Sebab tu lah, perkahwinan itu dibina atas dasar taqwa.. bagaimana untuk mendapatkan taqwa? Peliharalah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.

Runtuhnya sesebuah negara atau tamadun itu bermula dengan keruntuhan institusi kekeluargaan. Ini adalah fakta. Kesannya sudah kita lihat dan rasa sekarang. Jelas di mata kita, di mana-mana sahaja. Masalah keruntuhan akhlak/sosial tak payah cakap lah. Kerana, kita terlalu menekankan prestasi akademik dan material. Akibatnya, prestasi sahsiah, kerohanian dan kejiwaan kurang diberi perhatian. Sedangkan cemerlang itu bermula dari dalam jiwa kita sendiri. Kerana, hati itu merupakan kerajaan diri. Baik dan bertaqwa hati itu, baik dan bertaqwalah jasad kita. Dan ia akan terbias di sebalik akhlak dan urusan kehidupan kita sehari-hari.

Pesanan penaja: Jaga solat + jaga hati + jaga akhlak = wujud taqwa + hati tenang + tengok pasangan dan anak-anak pun rasa senang hati + cinta tu insya Allah berpanjangan sekiranya disandarkan kepada Allah + tanggungjawab akan dilaksanakan tanpa sebarang paksaan = keluarga sakinah = masyarakat madani

insya Allah~
=)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: