RSS

Berusahalah. Jangan berputus asa.

Dia berseorangan di satu sudut. Menyendiri. Bermenung jauh. Merenung dinding yang kosong. Pandangannya tembus ke ruang yang hanya dia dan Allah sahaja mengetahui.

Mengimbau masa silam. Terkenangkan peristiwa yang dilalui sepanjang kehidupan. Terkenangkan dosa-dosa. Ahhhhhh.. terlalu banyak. Tak terhitungkan. Banyak kali dia derhaka. Derhaka kepada Penciptanya. Pencipta yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Dia sedar, terlalu banyak dosa, khilaf dan kesilapan yang dilakikan. Dan dia juga sedar, walaupun pendosa sepertinya, masih lagi Tuhannya sudi memandangnya. Masih lagi Tuhannya sudi untuk memberi nikmat kehidupan yang tidak mungkin mampu dihitung. Namun masih, dia tetap tegar menderhaka kepada Tuhannya.

Ahhhhhhhh…. dia penat. Mengeluh. Bukan tidak pernah dia berusaha untuk berhenti membuat dosa. Sekurang-kurangnya dia pernah cuba untuk solat di awal waktu walaupun tidaklah istiqamah. Sekurang-kurangnya dia tetap solat walaupun fikirannya merayau entah ke planet Nameck mana ketika solat. Sekurang-kurangnya dia cuba untuk membuat kebajikan dan menjaga hati kedua ibu bapanya walaupun kebanyakan masa dia tidak menghiraukan permintaan mereka. Sekurang-kurangnya dia berhubungan dengan tetangga dan kawan-kawannya walaupun kadangkala dia mengumpat mereka di belakang. Sekurang-kurangnya dia membalut aurat walaupun di sana sini terdedah auratnya. Sekurang-kurangnya dia cuba untuk berubah walaupun separuh hati.

Ahhhhhhhh… dia mengeluh. Dengusan nafasnya keras. Sampai bila mahu begini? Sampai bila mahu hidup bergelumang dosa? Hari tu nyaris-nyaris dia berzina. “Ahhh.. zina mata dan hati pun dikira zina juga! Mana ada manusia yang tidak lepas dari membuat dosa. Rileks laaaaaa”, hatinya berbisik.

Namun, sampai bila? Sampai bila dia mahu terus melakukan perkara-perkara yang terang-terang bertentangan dengan fitrah hatinya yang mahu berhenti dari melakukan dosa dan maksiat terhadap Tuhannya. Dia bukan tidak tahu antara yang haq dan yang batil! Dia bukan tidak tahu minum arak itu ibu kepada segala jenis dosa dan maksiat. Dia bukan tidak tahu rasuah itu haram. Dan dia bukan tidak tahu pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan itu haram. Dia bukan tidak tahu riba itu bakal menyusahkan hidupnya bukan sahaja di dunia, bahkan di sana lebih-lebih lagi. Bukan dia tidak tahu dan mengerti semua itu. Heyyyy… dia belajar laaa semua itu di alam persekolahannya dulu.

Benarlah! Sekali terjebak, sekali tersilap langkah, sekali tersalah masuk simpang, bukan senang nak buat u-turn di lebuhraya kehidupan. Alah bisa tegal biasa. Dosa dan maksiat tu umpama duri dalam daging. Walaupun menyakitkan dan merosakkan diri, ia tetap sukar untuk dihindarkan. Dah terbiasa bertuhankan nafsu, masakan senang untuk berpaling darinya. Dah terbiasa meneguk nikmat dunia yang menipu, masakan mudah bermujahadah untuk mengejar akhirat.

Kepenatan. Lelah. “Tuhan~ tidak mungkinkah ku temui jalan pulang kepada-Mu? Puas sudah kaki ku melangkah dalam debu-debu dosa dan kezaliman yang menyesakkan. Aku mahu kembali kepada-Mu~ Tuhan~ tolonglah~~~”, dia merintih. Telah dicuba berkali-kali untuk keluar dari perangkap masa silam. Keluar dari igauan dosa yang menghantui. Gagal! Baginya istiqamah itu sangat sukar. Mustahil untuk dia bebas dari belenggu kehidupan silam.

Buntu. Terasa masa depannya kelam.

Siapakah dia?

Dia itu adalah kita manusia yang tidak pernah lepas dari melakukan dosa.

###################

Benarlah. Hidayah itu milik Allah. Dia berhak menganugerahkan hidayah itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, usaha untuk menggapai syurga-Nya bukanlah mudah. Akan ada ujian di sepanjang perjalanannya. Bagi menyaring antara mereka yang benar-benar ikhlas mentaati Allah dan mereka yang menjadi hamba dunia.

Pekerjaan mengejar akhirat dengan meninggalkan nikmat dunia yang berlebih-lebihan bukanlah mudah. Hanya orang yang kenal diri dan sedar akan hakikat hidupnya hanyalah untuk Allah sahaja tegar berusaha untuk keluar dari dunia yang penuh ilusi dan fantasi yang memenatkan. Ambillah nikmat dunia sekadarnya. Gunakan ia sebagai bekal untuk ke akhirat. Namun ramai yang terpesona dengan penipuan dunia yang dilihat begitu indah. Memburu fatamorgana dunia tidakkan pernah ada kesudahannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang sedar diri.

Fitrah manusia yang lalai, alpa dan berdosa. Namun pintu taubat sentiasa terbuka selagi matahari tidak terbit dari barat. Jalan kembali kepada-Nya terbentang luas. Bertabahlah wahai hamba yang berdosa. Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk kembali kepada-Nya. Walaupun seringkali amukan nafsu yang membuat onar menguasai diri. Namun janganlah pernah berputus asa. Tuhan melihat usahamu. Teruskan berusaha. Jangan pernah berputus asa. Pasti suatu hari nanti kamu akan berjaya. Insya Allah. Asalkan hatimu benar-benar ikhlas untuk mencari redha-Nya.

 

Ramadhan Kali Ini.. Untung Sabut Timbul, Untung Batu Tenggelam

Alhamdulillah.. syukur kerana dengan limpah rahmat & kasih sayang-Nya, kita dapat bertemu dengan Ramadhan lagi pada tahun ini. Untuk kesekian kalinya, apa khabar iman kita? Apa khabar ibadah kita? Apa khabar hati kita? Apa khabar akhlak kita? Dan seterusnya apa khabar hubungan kita dengan Allah? Semakin baikkah ia? Atau masih lagi bertambah berkurang. Fluctuate tidak konsisten. Semoga ia tidak berkurang. Andainya berkurang, cepat-cepatlah berusaha untuk meningkatkan kembali suhu kebergantungan dan keimanan kita kepada-Nya.

Sudah lama tidak berceloteh di medan penulisan. Entah lah. Idea sentiasa datang tapi ia seakan-akan membeku. Patah-patah perkataan yang pernah dilontarkan satu ketika dahulu seolah-olah bersembunyi. Tidak mahu menzahirkan keupayaan untuk menulis. Telah sedaya upaya mencuba untuk mencurah segalanya di kamar hati. Namun, ia sekadar berlegar di situ. Tidak terluahkan. Tidak terungkapkan. Jelas, ia juga satu bentuk ujian dan tarbiah daripada Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Setiap hamba pasti akan diuji dan ditarbiah dengan cara-Nya yang tersendiri. Ujian dan situasi tidak sama, tetapi akhirnya ia membawa ibrah yang sama. Terpulang kepada kita untuk menelah, mengambil ibrah setiap ujian dan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan berdasarkan kapasiti pemahaman masing-masing.

Sungguh bertuah insan-insan yang terpilih untuk melalui Ramadhan-Nya untuk kesekian kalinya. Bertuah. Sangat bertuah. Tapi, sejauhmanakah kita menghargai nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita. Muhasabah diri. 15 hari kita mengharungi Ramadhan pada kali ini, apakah improvement yang telah kita lakukan dalam diri kita? Sejauhmanakah tarbiah dan transformasi diri yang kita laksanakan dalam diri kita? Andai 11 bulan yang sebelumnya hidup kita diisi dengan perkara yang sia-sia dan melalaikan, apakah 1 bulan ini di mana syaitan penghasut utama anak Adam dibelenggu kita dapat mempertingkatkan ibadah kita sekurang-kurangnya seinci?

Allahuakbar! Sudah pasti kita sedar akan satu hakikat. Syaitan yang menghasut itu sebenarnya tidaklah mempengaruhi kehidupan kita walau seinci pun. Bahkan, “syaitan” dalam diri itulah yang menguasai keseluruhan kehidupan kita. Syaitan dalam diri yang berupa nafsu itu sungguh sukar untuk dididik. Sungguh sukar untuk ditarbiah. Kita sedar akan hakikat itu. Muhasabah diri. Beruntunglah hamba Allah yang mampu mendidik dan menjadi tuan kepada nafsu. Malanglah bagi hamba yang bertuhankan nafsu. Andai 15 hari yang telah berlalu ini kita masih lagi mengalah menang dengan nafsu kita, berusahalah dalam masa 14 hari yang berbaki ini untuk mentarbiah dan mendidik nafsu yang besar itu. Sungguh. Pekerjaan mentarbiah nafsu bukanlah pekerjaan yang mudah. Bahkan ia adalah jihad yang sebenar-benar jihad. Pekerjaan menundukkan hawa nafsu itu, tidak kiralah nafsu apa sekalipun tidak seenteng yang disangkakan. Masakan nafsu mazmumah yang biasa dimanjakan itu akan menunduk kepada nafsu mahmudah dalam masa yang singkat. Tidak~ tidak sama sekali. Namun. Jangan pernah berputus asa. Begitulah perjalanan kehidupan kita. Ada ketikanya kita mendaki. Ada ketikanya kita berlari. Ada ketikanya kita berjalan. Dan ada waktunya kita merangkak. Didiklah ia. Tarbiahlah ia dengan seribu keazaman dan ketegasan. Diiringi dengan untaian doa dan pengharapan semoga Allah menganugerahkan kekuatan kepada kita untuk menghadapi ujian yang paling getir dalam kehidupan. Ujian dalam mentarbiah nafsu. Syurga Allah itu terlalu mahal harganya. Masakan kita dapat mengecapinya dengan usaha yang amat sedikit.

Akhir kata sehingga bertemu di kalam yang seterusnya, selamat maju jaya untuk 14 hari yang masih lagi berbaki. Teruskan perjuangan. Jangan sekali-kali goyah dengan hasutan nafsu yang menggila. Kan berpuasa itu salah satu cara untuk menundukkan nafsu. Berpuasalah dalam erti kata yang sebenar. Berpuasalah. Berqiamullail lah. Sejukkanlah hati dan nafsu yang menggelegak itu dengan tadarrus dan tadabbur Al-Quran. Insya Allah, usaha yang tidak mengenal erti putus asa berserta pengharapan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya, agar dikurniakan kekuatan untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik, yang sanggup menggadaikan nikmat dunia yang fana demi mendapatkan syurga-Nya yang abadi dapat dicapai. Insya Allah.

Hayatilah pengajaran di sebalik video ini. (Saya yakin semua orang dah menontonnya kan?) =)

 
Leave a comment

Posted by on July 24, 2013 in An-Nasihah, Food for the Soul

 

Daripada Dia Kita Datang dan Kepada-Nya Kita Kembali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ada saatnya jiwa terasa lemah. Hati tidak keruan. Jiwa meronta-ronta. Seolah-olah kehilangan arah. Ahh.. sukar untuk digambarkan perasaan itu. Seumpama ibu kucing yang kehilangan anaknya. Seumpama seorang pencinta kehilangan yang dicintainya. Ya. Seumpama seorang pencinta kehilangan yang dicintainya. Itulah perumpamaan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan itu. Terasa seperti ingin membebaskan diri dari belenggu rantai lutsinar. Berhalusinasi mungkin? Ahh.. tidak! Perasaan sebegitu bukanlah halusinasi. Ia benar. Bukan fatamorgana dunia semata-mata.

Ada saatnya dalam hidup kita, kita akan berhenti atau memperlahankan kemudi perjalanan kehidupan, lalu bertanya kepada diri sendiri; 

Apakah tujuan aku dilahirkan ke dunia ini?

Apa yang telah aku capai sepanjang kehidupan aku ini?

Apakah setiap amal atau pekerjaan yang aku lakukan selama ini Allah redhai?

Tidak dinafikan, kehidupan manusia diwarnai dengan pelbagai halangan dan rintangan. Penuh suka dan duka. Pelbagai ujian kesenangan dan ujian musibah diturunkan Allah kepada kita. Agar kita dapat belajar sesuatu dari kesemua itu. Agar kita dapat mengambil ibrah dari setiap perhentian atau persimpangan dalam kehidupan kita itu. Baik atau buruknya ujian kesenangan dan ujian musibah itu, terpulang kepada kaca mata kita untuk mengamati dan menelahnya. Namun, satu hakikat yang perlu kita akui, setiap ujian yang diturunkan Allah kepada kita SEMUANYA UNTUK KEBAIKAN KITA. Samaada kita mahu sedar ataupun tidak, samaada kita mahu menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk kita melonjak lebih jauh ke hadapan, atau mahu berundur ke belakang meratap kekecewaan atau musnah dalam setiap ujian itu.

Lemah iman itu menyakitkan. Tanpa disedari ia membunuh ketenangan jiwa dan jati diri. Mohonlah kepada Allah agar diberi kekuatan untuk memperkukuhkan keimanan kepada-Nya. Manusia tidak akan pernah mampu mempertahankan & memperkukuhkan iman tanpa izin & bantuan-Nya. Kerana manusia itu sendiri asalnya lemah.

Allah.. kita semua pasti pernah merasai saat iman kita lemah. (Dan hakikatnya iman kita sentiasa lemah!) Bukan kita tidak tahu perkara yang kita lakukan itu adalah salah dan berdosa. Tapi, iman kita tidak cukup kuat untuk menjadi benteng diri daripada terus menerus melanggar larangannya.

Akan tiba satu ketika, jiwa gusar. Hati tidak tenang. Seumpama penasaran. Sedar, pintu hati diketuk Dia supaya mendekati-Nya. Tapi kita yang meminggir. Seakan-akan menafikan keinginan untuk menghampiri-Nya. Teringin untuk menatap ‘surat-surat CINTA-NYA’. Tapi iman itu cukup lemah. Teringin sekali untuk menyendiri, menyepi di hamparan sejadah pada sepertiga malam. Meluahkan rasa hati kepada-Nya. Mencurahkan segala kepenatan akibat permainan dunia yang penuh fatamorgana ini. Namun, iman itu masih lemah. Tidak mampu untuk membuatkan ruh dan jasad secara sukarela menghadap-Nya. Terasa terbeban.

476394_398356816869688_802803796_o

Dan akhirnya, percayalah. Andainya kita menyahut seruan dan panggilan Dia untuk menghampiri-Nya, andai kita sambut CINTA-NYA yang agung itu, kebahagiaan yang hakiki akan kita temui. Tenang. Tiada lagi pergolakan atau ribut taufan mahupun tsunami mengamuk di dalam jiwa. Insya Allah. Pernah merasainya? Bahagia bukan? Tenang. Seolah-olah ribut taufan yang mengganggu jiwa itu tidak pernah wujud. Janganlah kita mensia-siakan panggilan kasih dan rahmat-Nya kepada kita. Bersyukurlah. Apabila Dia menyeru kita untuk menghampiri-Nya, janganlah lagi meminggir. Dekatilah Dia. Bukanlah zuhud itu dengan beribadah kepada-Nya semata-mata sehingga meninggalkan segala isi dunia. Tetapi zuhud itu ialah mengambil nikmat dunia sekadar keperluan dan dimanfaatkan untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Andai tidak pernah merasai nikmat CINTA AGUNG itu, mohonlah kepada-Nya agar kita diberi peluang untuk merasainya. Mohonlah kepada-Nya. Kerana CINTA DIA lebih berharga dari seluruh isi dunia.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail, “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah ia.” Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail menyeru penduduk langit, “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah ia.” Maka penduduk langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia.”
(Riwayat Al Bukhari No 3037)
Andai cinta Allah kita perolehi, seluruh isi alam akan turut mencintai kita. Bukanlah cinta isi alam itu tujuan dan matlamat kita. Kerana apabila kita merasai nikmatnya cinta Allah, isi alam itu hanyalah secebis daripada kehidupan kita sahaja. Kerana hakikat penciptaan manusia, “daripada Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali”.
Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan redha-Nya. Insya Allah.
 

Dan Apabila Hati Itu Mati

Dan apabila hati itu mati.

Terasa sesak di dada.

Ingin sekali ia mendekati-Nya.

Namun titik hitam itu membuatkan hati itu menjadi liat.

Terpaku.

Keras.

Ahhhh… hati itu meronta-ronta.

Mahu keluar dari kesengsaraan derita jiwa.

Mahu sekali mendekati-Nya.

Pemilik hati yang satu.

Namun…

Ia masih terpaku.

Mengeras. Tidak mahu berganjak.

Tapi jauh di sudut hati ia memberontak!!

Mahu keluar!

Mahu keluar!

Mahu keluar!

Allah…

Mungkinkah hati itu sudah rosak?

Ya Allah, gantikanlah hati itu dengan hati yang baru.

Semoga hati yang baru itu lebih kuat untuk menghadapi segala mehnah dan tribulasi.

Semoga hati itu bertemu kembali Penciptanya Yang Abadi.

 
Leave a comment

Posted by on February 20, 2013 in Self - Monologue

 

Genta Rasa

Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.

(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali…

View original post 1,991 more words

 
Leave a comment

Posted by on February 20, 2013 in Uncategorized

 

Genta Rasa

535955996_8c791085b0

Kata orang, komunikasi tahap tinggi ialah kemampuan kita mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan. Komunikasi tanpa suara, begitulah istilah yang mungkin paling tepat untuk menamakan komunikasi jenis ini. Mendengar bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Berikan hubungan mata, jalinankan rasa hati. Itulah maksud mendengar yang hakiki. Jika tidak, kita masih dikira ‘tuli’ dalam perhubungan sesama suami-isteri.

“Dah berapa kali saya nyatakan… tetapi awak macam tak faham. Tak faham atau tak mahu faham?”

Begitu selalu kita dengar kemarahan seorang suami.

“Dah berapa kali saya cakap baik-baik abang tak mahu dengar. Terpaksalah saya jerit macam ni. Kalau abang tak faham juga tak tahulah… saya bosan!”

Begitu pula luapan kekecewaan seorang isteri.

Semua kata-kata diatas menunjukkan betapa manusia sering gagal ‘mendengar’ kata-kata pasangannya.

 Termenung saya memikirkan. Sebagai suami, saya selalu mengharapkan isteri mendengar kata-kata yang saya luahkan tanpa suara. Namun, saya sedar, mana mungkin saya menerima tanpa terlebih dahulu memberi? Ertinya…

View original post 798 more words

 
Leave a comment

Posted by on February 7, 2013 in Uncategorized

 

Dan Apabila Hati Seorang Dia Berbisik…

Dia menderita.. dia sengsara.. namun dia bahagia kerana terasa seolah-olah Allah dekat dengannya.

Dia gembira.. dia merasakan seolah-olah terangkat kegusaran yang mendiami hati.. namun jiwanya resah.. terasa seolah-olah kehilangan.. benar, dia kehilangan erti tenang di hati.. kerana kegusaran yang terangkat itu menjauhkan dia daripada Dia..

Lalu dia pun berbisik; “Allah, andai nikmat dunia yang menipu ini bisa melalaikan aku dari mengingati-Mu, andai nikmat dunia yang menipu ini menyukarkanku menjaga hak-Mu, aku lebih rela menderita namun bahagia dalam jiwa.”

Hatinya berbisik lagi; “Allah.. janganlah Kau palingkan hati ini dari rahmat dan kasih-sayang-Mu lagi.. setelah ia bersusah payah untuk mencari jalan pulangnya kepada-Mu.. sesungguhnya anugerah Islam, Iman dan Ihsan ini lebih berharga dari segala-galanya.. sungguh….”

“Allah, gembirakanlah aku ya Allah.. hiburkanlah hati aku ya Allah..”

“Tapi, layakkah aku memohon agar Kau hiburkan hati ini sedangkan aku culas menunaikan hak-Mu ya Allah? Aku malu ya Allah.. aku malu dengan-Mu ya Allah….”

“Allah, bawalah aku pulang kembali kepada-Mu.. walau dengan apa cara sekalipun. Aku redha. Aku bahagia.”

Dan.. dia kembali tenang….

Semoga kita semua mendapat ketenangan sebagaimana dia juga. Insya Allah~

338043_310526888986015_349107848_o

 
Leave a comment

Posted by on February 7, 2013 in Food for the Soul