uNgu LaveNdeR’s Weblog

Just another WordPress.com weblog

Cadangan Rally 1 juta Protes Kenaikan Harga Minyak

Assalamu’alaikum…Agak lama jugak aku memikir cara & kaedah yang paling praktikal,menyeluruh & kurang risiko agar seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 27 juta dapat bersama-sama mengambil bahagian dalam “Rally 1 juta membantah kenaikan harga bahan bakar” & akhirnya akal “bodoh” aku terfikir 3 cara selain yang dirancang oleh GERAMM & PROTES.
Maksud aku disini bukan memperlekehkan rancangan yang sudah diatur oleh 2 badan berkenaan tapi aku mahukan penyertaan yang lebih besar,menyeluruh & lebih penting lagi “rally 1 juta” bakal mencipta sejarah sebagai “rally 20 juta” sekurang-kurangnya.lebih menyeluruh dan akal bodoh aku mengatakan rancangan ini bakal memberi impak yang lebih besar kepada pemerintah “kukubesi” rejim Barang Naik.

Apa yang telah dirancang oleh GERAMM & PROTES tidak perlu diubah lagi pada kertas cadangan(bagi aku ianya sudah cukup baik – tahniah pada pemikir)tetapi skop perlu diperluaskan lagi & aku yakin ianya tidak akan mengganggu urusan perancangan yang sedia ada kerana cadangan aku tidak ada kena-mengena dengan yang telah dirancangkan sebelum ini cuma perlu ditambah sedikit sahaja lagi.

Sebelum aku bentangkan cadangan bodoh aku,perlu aku ingatkan dulu semua pembaca bahawa mulai tarikh 1hb.julai,2008 takrif elektrik akan dinaikkan sebanyak 18%…naik lagi da…yang ni perlu kita ambik berat juga & masukkan sekali dalam agenda protes kita.jangan lupa – letrik naik…elektrik amat penting dalam sektor perusahaan jadi kenaikan takrif elektrik juga bakal memberi kesan keatas harga barangan.jangan tak tau.

Cadangan bodoh 1 – mulai 1hb.julai kita mulakan protes pertama kita atas kenaikan harga bahan bakar dari dalam kenderaan sahaja.jam 8 malam kebanyakan dari kita(dibandar besar)dalam perjalanan pulang kerumah…nyatakan bantahan anda dengan memperlahankan kenderaan 50-60km/j,nyalakan lampu kecemasan(hazard)dan jangan malu-malu untuk saling berbalas bunyi hon kenderaan anda…

Itu signal kita yang pertama…polis boleh lepak balai sambil minum teh & FRU boleh lepak rumah rapatkan hubungan kekeluargaan.tak tau la pulak aku kalau polis nak saman kalau kita pasang lampu kecemasan,bawak kereta 50-60km/j & tekan hon…ini cara yang paling tak berisiko tetapi boleh menggegarkan Malaysia

kalau majoriti pemandu mengambil bahagian.bayangkan lampu kecemasan kereta berkelip-kelipan disepanjang jalan diselangi dengan bunyi hon…gamat & bermesej…
Cadangan bodoh 2 – protes kenaikan takrif elektrik juga aku cadangkan dimulakan pada 1hb.julai bersempena dengan kenaikan takrif elektrik pada hari yang sama.mulakan dirumah kita sahaja.tak perlu dijalanan…seragamkan biar menyeluruh disetiap kawasan perumahan anda.tepat jam 10 malam 1hb.julai padamkan lampu premis dimana kita berada sebagai tanda protes kita.kita GELAPKAN SELURUH NEGARA pada waktu tersebut paling kurang selama setengah jam.biar peta Malaysia hilang dari satelite google kerana kegelapan.
Itu signal ke2 sebagai tanda protes kita.juga tidak berisiko,boleh dilakukan dengan menyeluruh,tidak membahayakan,tidak perlu campurtangan polis & FRU.masing-masing boleh menikmati kopi 0 bersama keluarga dirumah sambil menyatakan bantahan anda.yang ni kita panggil “silent protest”…tak tau la pulak kalau Pak Lah keluar statement “padam lampu premis boleh menggugat kestabilan negara”…tapi mungkin Najib akan keluarkan kenyataan “negara akan bankrap jika lampu dipadamkan”…aku agak la…

Ke2-2 siri protes(cadangan)tersebut kalau diperhalusi bagi aku yang bodoh ni amat praktikal & boleh disertai oleh semua peringkat & seluruh rakyat Malaysia tak kira kakitangan kerajaan,badan berkanun,polis,tentera atau sesiapa sahaja di Malaysia.sesiapa sahaja yang berminat,boleh turut serta atas inisiatif masing-masing tanpa perlu berhadapan dengan apa-apa risiko.mungkin angka 20 juta boleh dicapai dengan cara ini.kita teruskan langkah-langkah tadi dari 1hb hingga tarikh 4hb.julai setiap malam…apa pendapat korang?

Cadangan bodoh 3 – malam puncak(jumaat 4hb.julai 2008)sebelum “rally 1 juta”.ini malam paling penting menjelang hari paling bersejarah di Malaysia.seperti malam-malam sebelumnya,pada malam puncak ini…sesi bantahan “protes dari dalam kereta” & “silent protes” diperluaskan lagi…PR ada 5 negeri & aku percaya untuk rancangan seterusnya,para menteri PR di 5 negeri tak punya masalah untuk bekerjasama dengan pihak PBT & JKKK di negeri masing-masing untuk menjayakan rancangan “menggelapkan Malaysia”…macam mana ya?

Macam hari-hari yang sebelumnya…tapi kali ini kita minta bantuan pihak PBT & JKKK untuk memadamkan semua lampu-lampu yang tidak berkenaan iaitu lampu-lampu perhiasan,lampu bangunan-bangunan yang tidak berfaedah atau apa sahaja lampu yang tidak penting.tepat jam 10 malam kita GELAPKAN SELURUH NEGARA MALAYSIA sebagai tanda protes kita!

Rasanya 3 cadangan bodoh aku tu tak susah & tak perlukan perancangan yang rapi.kita cuma perlu mewar-warkan rancangan mudah tersebut pada umum & kerjasama dari seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan untuk menjayakan rancangan mudah tersebut.siapa-siapa sahaja boleh turut serta tak kira dimana korang berada.dibandar,kampung atau mana-mana pun boleh…tak jadi masalah.

Kalau idea bodoh aku tu diterima pakai oleh GERAMM & PROTES(aku tak tau macam mana nak sampaikan cadangan ni pada GERAMM & PROTES – harap-harap Webmaster dapat panjangkan cadangan aku pada pihak terbabit)aku yakin 100% angka 1 juta takkan tercatat sebaliknya sekurang-kurangnya angka 10 juta tak jadi masalah bagi kita.

Tapi perlu diingatkan,rancangan bodoh 3 aku tu takkan 

tercapai tanpa bantuan,kerjasama & kesungguhan pihak kerajaan dari 5 negeri PR…itu cadangan dari aku yang bodoh sebelum “rally 1 juta”…Apa pendapat korang?setuju tak?tinggalkan komen korang kat bawah…

 

 p/s: bagus jgk idea nie… walaupun nampak cam idea bodoh… tp sbnrnya idea gila2 mcm nie lagi bagus… sbb senang nak dilaksanakan. tp, rakyat kena betul2 b’tekad nak buat rally la… satu malaysia tu… idea nie senang untuk dipraktikkan…

June 26, 2008 Posted by dhieya | Siasah Syar'iyyah | | No Comments Yet

Hanya Firaun dan Namrud Larang Salahkan Kerajaan

Selasa 24 Jun 2008 | 19 Jamadil Akhir 1429 Hijrah
Subky Abdul Latif

Saya adalah penonton regular program Forum Perdana Ehwal Islam setiap malam Jumaat di TV1. Yang terbaru ketika berforum di Kangar, saya tidak setuju dengan Prof. Yusuf Hussein, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang tidak mahu orang menyalahkan kerajaan.

Saya beriman dengan ajaran bahawa kerajaan yang diistilahkan sebagai ulil amri hendaklah dipatuhi.

Tetapi kepatuhan kepada ulil amri itu tidak mutlak. Kepatuhan yang mutlak ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Kepatuhan kepada ulil amri sepanjang ia patuh kepada Allah dan Rasul-Nya.

Saya bukan menganjurkan kerajaan yang tidak patuh kepada Allah dan Rasul hendaklah diperangi. Tetapi saya hendak mengatakan kerajaan boleh ditegur dan boleh disalahkan jika diyakini dasar dan tindakannya tidak betul.

Saidina Abu Bakar Siddiq ketika menerima perlantikan sebagai khalifah menuntut kepatuhan umat selagi dirinya berada pada jalan Allah dan Rasul. Tetapi jika beliau tidak mengikut jalan itu, maka beliau minta dibetulkan.

Khalifah Umar al-Khatab membuat permintaan yang dari umat ketika menerima perlantikannya. Lalu bangun seorang pemuda menghunus pedang sambil mengingatkan Amirul Mukminin, pedangnya akan singgah ke lehernya jika beliau menyeleweng. Saidina Umar bersyukur kerana ada umat Islam yang sedia menegurnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, setiap orang adalah penggembala atau pemimpin. Dia akan ditanya tentang penggembalaannya atau pimpinannya.

Allah akan bertanya pemimpin apa yang dibuatnya tentang pimpinannya. Bukan Allah saja yang akan bertanya kepadanya, tetapi setiap orang yang terasa dirinya dizalimi dan tidak mendapat layanan adil dari pemimpinnya berhak bertanya.

Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin contoh. Tiada yang bersalahan dalam pimpinannya, tetapi bermacam-macam karenah Badawi ditujukan kepadanya. Semua yang dihadapinya itu dilayan mengikut kesesuaian.

Sepanjang sejarah manusia, para nabi minta umatnya taat kepada Allah dan setia arahannya. Tetapi tidak pula nabi-nabi itu melarang umatnya bertanya dan memberikan pandangan. Apabila ada yang tidak patut dan pandangan kaum musyrikin yang tidak betul, maka nabi-nabi itu pergi kepada mereka membuat penjelasan.

Yang tidak mahu ditegur dan melarang rakyat membuat komen tentang perjalanan raja dan pemerintahan ialah Namrud, Firaun dan orang-orang yang zalim sepertinya.

Forum Perdana RTM di Perlis itu adalah tentang angkara lidah dan bahaya fitnah. Mungkin forum tajaan kerajaan Shahidan Kassim itu gerangan adanya gara-gara lidah tak bertulang Dato Radzi Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung Umno mahu Menteri Besar Perlis ditukar.

Profesor dan bekas Mufti Wilayah itu telah membuat huraian tentang tidak baiknya fitnah dan betapa wajarnya menjaga lidah. Tetapi kesimpulannya, dia tidak suka sangat orang menyalahkan kerajaan yang ada hari ini. Baginya semua orang mesti menanyalah diri sendiri tentang apa yang berlaku. Maksudnya tentang kepincangan dan kelamahan yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.

Secara umum dia menolak peranan pembangkang dan peranan kritikan dalam media massa, menolak kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan. Semua ini dijamin dalam Islam dan demokrasi.

Dalam dunia memang ada yang membangkang melulu, menentang kerajaan melulu, mengecam orang itu dan orang ini dengan melulu. Tetapi semua kelemahan itu tidak menjadi hujah untuk menafikan keperluan bangkangan, kritisme, kebebasan menyatakan pandangan, membantah dan menegur.

Tidak ada yang manusia dapat harapkan raja bermata di hati dan pemerintah yang zalim dan diktator. Tetapi orang bergelar profesor dan bertaraf mufti bukan dari jenis seperti itu.

Profesor yang menyokong kerajaan boleh membela kerajaan dan programnya yang dikatakan baik dengan hujah akademik yang kuat. Memang dari dulu ada kerajaan yang baik dan adil. Maka kerja profesorlah untuk membetulkan apa yang dirasakan salah oleh setengah orang.

Tetapi profesor kerana bersetuju akan ada pula profesor yang lain menghujah yang dikataannya betul itu. Macam mana pun profesor yang setuju dengan kerajaan itu tidaklah wajar melarang teguran kepada kerajaan. Bukan begitu cara profesor.

Profesor mesti mengelak menjadi seorang ahli propaganda. Bukanlah sifat profesor menjadi propagandis.

Demikian juga mufti. Mufti mesti berkata betul. Islam tidak melarang menegur dan menyatakan zalim kepada yang zalim. Dalam Islam dalam keadaan sudah seratus peratus betul, masih diperlukan teguran. Imam-imam muktabar tidak menggalakkan ulama bekerja dengan kerajaan.

Justeru itu ada ulama sedia dipenjara dari menerima tawaran bekerja dengan raja atau khalifah. Akan sukar bagi ulama untuk menyatakan yang benar itu benar.

Yang menaikkan harga minyak ialah kerajaan. Yang menaikkan harga barang ialah peniaga dan disetujui oleh kerajaan. Yang mengadakan tol dan menaikkan tol adalah kerajaan. Yang memberi lesen kepada tv boleh menyiarkan itu dan ini adalah kerajaan.

Bagaimana rakyat boleh menyalahkan dirinya atas kepincangan itu? Maka apakah kejadian itu dibiarkan saja? Apakah tidak boleh kerajaan disalahkan dalam perkara seperti itu sebagai contoh?

Luncai yang dikatakan lucu itu pun tetap mengatakan kepala raja yang botak itu botak. Masakan profesor dan mufti tidak setuju botak kepala raja itu botak.

Esoknya tv Aljazeera menyiarkan perbicangan isu Suharto. Dr Emil Salim, bekas menteri Suharto mempertahankan kebaikan pentadbiran Suharta tetapi tidak menyatakan kelemahannya. Emil Salim menyalah orang-orang yang tahu menyalahkan Suharto saja.

Seorang panel bangga dengan yang baik dari Suharto tetapi baginya yang buruk itu banyak. Dia bertanya Pak Emil apakah tidak patut Suharto diadili atas keburukannya. Emil tidak berani mengatakan Suharto tidak boleh diadili.

Adililah bagi menentukan yang baik itu baik dan yang buruk itu buruk, walaupun Emil tidak mahu menyebut keburukan Suharto.- tajdid _

 sumber: http://perisikrakyat.blogspot.com/

 

ulasan: setuju dgn pengarang artikel ini… Saidina Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz pun minta ditegur @ dinasihati jika berbuat kesalahan sepanjang pemerintahan mereka, inikan pula hamba Allah yang lain yang sudah tentu tidak sekali-kali akan terlepas daripada membuat kesalahan dan kesilapan… apakah rasionalnya sesebuah kerajaan tidak membenarkan rakyat menegur mereka apabila mereka membuat salah. kenapa perlu menegakkan benang yang basah walaupun seantero alam sudah mengetahui perkara yang mereka lakukan itu adalah bersalahan / melanggar syariat Allah… bahkan mereka sendiri mengetahui kesalahan mereka itu… kenapa perlu menzalimi diri sendiri dan rakyat marhaen yang masih lagi memilih mereka untuk memimpin negara walaupun dengan hanya simple majority? pada pandangan saya, sudah tiba masanya pemimpin di atas mendengar suara hati rakyat dan memperbetulkan keadaan yang semakin teruk sekarang ini. saya tidak mahu perdana menteri negara saya merupakan seorang yang lemah dari segi kepimpinannya… amat memalukan… jadi, sudah tiba masanya kita membuat perubahan dan memilih parti @ pemimpin yang benar-benar ikhlas dan amanah untuk memimpin negara berlandaskan syariat dan panduan yang telah ditetapkan-Nya. memang negara kita berbilang kaum dan agama, tetapi bukankah sudah ada model negara Islam yang mempunyai berbilang etnik dan agama dan mereka mampu hidup harmoni tanpa masalah perpaduan… contohilah negara Islam Madinah yang telah ditubuhkan oleh Rasulullah S.A.W… dan sesungguhnya Islam itu syumul dan adil kepada semua manusia… insya Allah

 

June 25, 2008 Posted by dhieya | Siasah Syar'iyyah | | No Comments Yet